Dua pegawai SPRM didakwa tipu pengkuat kuasa RM40,000

0
441

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DUA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan RM40,000 bagi menyelesaikan kes yang sedang disiasat agensi tersebut pada Khamis lalu.

Amir Izham Isahak, 32 mengaku bersalah sementara Wan Kamarul Za’im Mansor, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mereka didakwa secara bersama-sama sebagai agen kerajaan iaitu Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang dan Penguasa P42 SPRM Cawangan Kluang dan SPRM Johor Bahru, bagi mencapai niat bersama telah menipu dengan memperdayakan seorang individu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menipu dengan memperdayakan seorang individu dengan curang mendorongnya menghantar harta iaitu wang tunai RM40,000 kepada kedua tertuduh dengan balasan kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes yang disiasat SPRM ke atas individu terbabit.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran dalam daerah Simpang Renggam, pukul 7.57 malam pada 14 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Wan Kamarul Zaim, memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000 kerana tertuduh perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul Zaim dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan 24 November ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam Mohd. Salleh Togimin kemudian memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham ditangguhkann ke tarikh lain.

Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian memutuskan kes Amir Izham disebut semula pada 24 November depan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here