Dewan Negara bertafakur kematian anggota bomba

0
440

DEWAN Negara hari ini bertafakur dan merakam ucapan takziah kepada ahli keluarga Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Diya Che Jusoh, 46 yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, awal pagi tadi.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu, semalam tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika melakukan operasi menyelamat mangsa banjir, di Kampung Sungai Putat dekat Sungai Rambai.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menzahirkan rasa sedih atas pemergiannya dan menyifatkan satu kehilangan besar kepada agensi penyelamat negara.

“Salam takziah kepada ahli keluarga dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, satu berita cukup menyedihkan buat kita semua pada pagi ini, mendengar perkhabaran PBK II, Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang terbabit dalam kemalangan ketika operasi menyelamat mangsa banjir sudah meninggal dunia jam 3.11 pagi tadi.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar kepada pasukan bomba dan penyelamat Malaysia. Sama-samalah kita mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan solihin,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau juga berharap keluarga Allahyarham tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan pemergian insan tersayang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here