[VIDEO] Anggota bomba meninggal dunia akibat lemas, selamat dikebumikan

0
325

SUASANA pilu menyelubungi pasukan bomba Melaka hari ini, apabila salah seorang daripada rakan mereka menghembuskan nafas terakhir selepas terbabit dalam insiden lemas semalam, ketika operasi membantu mangsa banjir.

Mohd. Diya Che Jusoh, 46 tahun, meninggal dunia pukul 3.11 pagi tadi selepas dikejarkan ke Hospital Melaka sejurus kejadian pada pukul 4 petang semalam.

Difahamkan, kejadian malang itu berlaku ketika mangsa sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Anggota berkenaan tersangkut dalam aliran deras air banjir sebelum anggota bomba yang lain bersama penduduk kampung cuba menyelamatkannya.

Mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, jenazah Mohd Diya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An- Nur Krubong, Melaka, pagi tadi.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah atas berita yang mendukacitakan itu.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Diya serta seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengucapkan takziah dan meluahkan rasa sedihnya menerusi perkongsian di laman Facebook.

“Saya merasa amat sedih apabila mendapat tahu Allahyarham terkorban dalam operasi menyelamat mangsa banjir di kampung tersebut.

“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia juga berkongsi kesedihan atas tragedi yang berlaku,” katanya.

Kejadian tragis itu sempat dirakam seterusnya dikongsikan oleh @otamblurr dan ruangan komen dibanjiri ucapan takziah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here