[VIDEO] ‘Persepsi bimbang ditangkap’ boleh kurangkan isu menunggang motosikal secara bahaya

0
388

SALAH laku menunggang motosikal secara berbahaya mampu dikurangkan jika mereka sedar aksi mereka sentiasa diperhatikan dan boleh dikenakan hukuman. 

Sehubungan itu, pakar mencadangkan supaya pihak berkuasa lebih kerap berada di kawasan ‘panas’ bagi mewujudkan persepsi mereka akan ditahan jika melangggar peraturan jalan raya. 

Ketika mencadangkan perkara itu, Pakar Psikologi Trafik, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkongsi mengenai kajian yang pernah dijalankan iaitu ‘Persepsi bimbang ditangkap’ dimana seseorang itu akan ada perasaan takut untuk melakukan kesalahan sekiranya mereka rasa sedang diperhatikan.

Beliau mengulas mengenai video yang tular di media sosial mengenai sekumpulan mat motor menunggang secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban – Port Dickson.

“Jadi untuk kita terapkan ‘persepsi bimbang ditangkap’ dalam diri sesorang, pihak berkuasa perlu berada di tempat-tempat tertentu bagi menampakkan kehadiran polis supaya orang ramai lebih takut untuk melakukan kesalahan.” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih agresif seperti operasi besar-besaran, sekatan rutin atau operasi khas seperti ops sikap.

Beliau juga berkata mat motor lebih gemar bergerak secara berkumpulan terutamanya sejak rentas negeri dibenarkan dan mereka ingin melepaskan gian selepas tempoh yang lama terperap di rumah.

“Bila mereka bergerak secara berkumpulan, lahirlah perasaan hebat dan boleh lawan undang-undang,

“Perasaan-perasaan sebegini membuatkan mereka lebih cenderung untuk melakukan kesalahan di jalanraya.” katanya.

Oleh itu, Dr. Rozmi mencadangkan terutamanya kepada orang muda dan penunggang motosikal berkuasa rendah untuk menjaga diri supaya dapat mengelakkan daripada insiden mati katak di jalan raya.

“Kita tahu mati ini boleh terjadi di mana-mana, jadi kalau boleh kita mahukan mati dengan cara yang baik,

“Orang muda kena ingat, kamu la pewaris negara jadi jagalah diri dan janganlah buat perkara yang tidak senonoh dan membahayakan diri.” tegasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here