Thailand masih belum benarkan, peluang bawa pulang Sajat tipis

0
343

PELUANG Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa pulang usahawan kosmetik, Nur Sajat sukar susulan desakan beberapa pihak yang mempertahankan kebebasan transgender.

Thailand sehingga kini masih belum membenarkan usahawan berkenaan atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman diekstradisi ke negara ini.

“Peluang untuk membawa pulang dilihat tipis susulan desakan beberapa pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atas dasar kebebasan transgender.

“Kemungkinan dia akan mendapat suaka di negara ketiga,” kata sumber kepada Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia dilaporkan dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang Nur Sajat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dan pihak berkuasa Thailand.

Sebelum ini, media melaporkan misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

Dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here