Solat Jumaat, fardu dibenarkan seluruh Kedah bermula hari ini

0
333

Oleh RIZQI ZABIDI

Semua Masjid di Kedah sudah dibenarkan untuk menerima kehadiran jemaah dengan kapasiti penuh bagi menunaikan solat Jumaat dan solat fardu bermula hari ini.

Pengarah Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd. Yusri Md. Daud berkata, kalangan jemaah bagaimanapun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard termasuk penjarakan sosial sejauh satu meter selain semua jemaah yang hadir perlu dipastikan telah lengkap menerima vaksin.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kadar vaksinasi penduduk di negeri ini yang sudah pun melebihi 80 peratus selain penurunan kes Covid-19 kebelakangan ini.

“Keputusan membenarkan masjid beroperasi dengan kapasiti penuh ini turut mendapat perkenan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

“Langkah ini juga selaras dengan peralhiran Kedah ke fasa tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini,” katanya.

Tambahnya, kalangan jemaah turut dibenarkan untuk berwirid, berdoa dan menunaikan solat sunat dalam tempoh singkat sebelum beredar selepas menyempurnakannya.

“Program-program keagamaan seperti kuliah selepas maghrib hingga Isyak, bacaan Yassin malam Jumaat serta tazkirah sebelum solat Jumaat, mereka dibenarkan berbuat demikian tidak melebihi satu jam dengan penyampai kuliah juga hendaklah mendapati vaksin lengkap.

“Kalangan jemaah bagaimanapun tidak dibenarkan berkumpul selepas solat atau melakukan amalan iktikaf selepas solat di masjid,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here