Tukar nama, paparan pada botol wiski TIMAH sentuh sensitivi umat Islam

0
301

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menggesa kerajaan mengarahkan syarikat pengeluar minuman beralkohol TIMAH supaya segera menukar jenama berserta gambar pada botolnya kepada yang tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

Menurutnya, tindakan itu demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara pelbagai kaum di negara ini.

Dalam masa sama tambahnya, beliau turut berharap para pemimpin politik terutama yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol terbabit.

Menjelaskan lebih lanjut, Wan Salim berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan iklan sejenis wiski buatan tempatan yang diberi nama TIMAH dengan paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah itu yang tular dalam media sosial.

“Termaklum bagi masyarakat Melayu ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam sama ada sunni atau syiah.

“Justeru menjenamakan arak sengan TIMAH dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Salim, pengeluar wiski berkenaan sepatutnya peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu itu.

Jelasnya, bagi masyarakat Islam, Malaysia yang di dalam Perlebagaannya dinyatakan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak sepatutnya menjadi sebuah negara pengeluar wiski.

Apatah lagi tambahnya, umat Islam dituntut menghindari arak serta dinyatakan beberapa kesannya yang buruk terhadap peminumnya daripada sudut fizikal, sosial dan spiritual.

“Malah di dalam sebuah hadis sohih riwayat Thabarani, arak disifatkan sebagai ‘ibu segala kekejian’ dan sesiapa yang meminumnya tidak diterima solatnya selama 40 hari.

“Hal ini mudah difahami kerana seorang penagih arak boleh melakukan pelbagai jenayah dan kejahatan dalam keadaan mabuk,” katanya.

Tambah beliau, seorang peminum arak bukan sahaja merosakkan akal fikirannya dan kesihatan tubuhnya sendiri, malah mampu memudaratkan orang-orang di sekelilingnya terutama ahli-ahli keluarganya.

“Kita juga sering membaca dan mendengar berita kemalangan jalan raya disebabkan pemandu yang mabuk sehingga ada yang kehilangan nyawa,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here