Polis tahan 16 pemandu mabuk

0
327

POLIS menahan 16 lelaki kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol serta menunggang motosikal secara merbahaya menerusi Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara, kelmarin hingga pagi ini.

Operasi itu dijalankan 89 pegawai Unit Penguatkuasaan dan Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 9 malam kelmarin hingga 4 pagi tadi.

Tumpuan operasi adalah di sekitar pusat bandar, Jalan Bangsar, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut ( menghala Sentul dan Chow Kit ), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata hasil operasi, 11 lelaki berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata, lima lagi lelaki berusia 15 hingga 22 tahun ditahan kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘Superman’, zig-zag’, dan ‘roket’ selain bersaing sesama sendiri.

“Semua tahanan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 45(A) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Secara keseluruhan sebanyak 358 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here