Perladangan: Pandemik boleh tingkat penglibatan tenaga kerja tempatan

0
621

KEKURANGAN tenaga kerja asing dalam sektor perladangan akibat pandemik COVID-19 boleh membuka lebih ruang kepada pekerja tempatan ‘berjinak’ dalam sektor berkenaan terutama golongan belia.

Malah, majoriti pemain industri di beberapa negeri seluruh negara menggambarkan tempoh pandemik ini boleh menjadi pencetus perubahan atau ‘game changer’ kepada penglibatan tenaga pekerja tempatan dalam sektor berkenaan, dan tidak kurang pula yang berpendapat ia tempoh kritikal ‘hidup mati’ industri ini.

Di Terengganu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata pihaknya kehilangan kira-kira 25 peratus pekerja asing, selepas mereka terkandas di negara masing-masing akibat pandemik dan kontrak mereka tidak disambung semula.

Bagaimanapun, menyedari masalah ini pihaknya melakukan transformasi pantas dengan melancarkan  program perintis kursus jangka pendek penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit (K-POLKS), yang mula dilaksanakan tahun lepas bagi melatih belia tempatan dalam industri berkenaan.

“Kita melakukan transformasi agak pantas dengan mencari alternatif untuk pengambilan pekerja ladang yang baharu, dan hasil program K-POLKS ini telah berjaya menampung 60 peratus penggunaan tenaga kerja warga asing,” katanya.

Walaupun pekerja baharu ini menurutnya tidak mempunyai pengalaman luas dan kemahiran yang baik dalam sektor perladangan, beliau berkata pihaknya akan terus memberi latihan dari semasa ke semasa.

“Sudah tiba masanya peluang pekerjaan dalam sektor perladangan ini diberi keutamaan kepada rakyat Malaysia dan syarikat perladangan pula perlu memberi gaji serta kemudahan lebih baik. Ketengah optimis ramai belia tempatan mahu bekerja dalam sektor ini, asalkan berbaloi dengan keringat mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Mohd Ghozali Yahaya pula berkata, syarikat itu yang memiliki ladang seluas 33,000 hektar seluruh negara, menggaji 2,500 pekerja setakat ini dengan 1,400 adalah pekerja tempatan manakala 1,100 lagi pekerja asing.

Mengakui TDM turut terjejas dengan masalah kekurangan pekerja penuai buah sawit berikutan sempadan negara ditutup sejak tahun lepas, beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya termasuk memperkenalkan mekanisasi ladang dan program rekrut pekerja tempatan, yang sedang giat berjalan kini.

Di Selangor, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim mengakui impak kekurangan tenaga buruh asing, namun berpendapat langkah-langkah pemodenan dan hasil bernilai tinggi, dapat menarik minat anak-anak muda tempatan.

Pengurus Felda Soeharto, Mohd Qasidinoor Mohamad Asri turut sependapat bahawa generasi kini lebih cenderung ke arah teknologi, dan ia boleh menjadi faktor penarik minat mereka menceburi apa jua bidang.

“Kami mengambil anak peneroka yang hilang pekerjaan akibat COVID-19… Jika kita ke arah menggunakan teknologi dan jentera, mungkin kita boleh menarik minat (pekerja tempatan) untuk bekerja di ladang, bagi mengurangkan kebergantungan kita kepada warga asing bekerja di sektor perladangan,” katanya.

Di Perlis dan Kedah pula, isu kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor perladangan kenaf tidak berbangkit, memandangkan tanaman itu lebih mudah diuruskan dan tidak memerlukan tenaga kerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kenaf Venture Global  Sdn Bhd (KGV) Jazman Shahar Abdollah berkata pihaknya mengusahakan ladang kenaf seluas 100 hektar di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), yang memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kenaf ini tak susah ditanam dan diusahakan, dituai dalam tempoh 100 hari saja… tak menjadi suatu masalah ketika sektor perladangan lain menghadapi masalah (kekurangan tenaga kerja asing),” katanya.

Pengusaha ladang kenaf seluas 180 hektar di Changlun dekat sini, Abdul Aziz Hassan pula berkata masalah utama yang dihadapi mereka pada masa ini hanyalah berkaitan peralatan, terutamanya mesin menuai.

“Kami menghadapi kekurangan mesin dan berharap kerajaan dapat membantu menambah mesin tuaian kenaf bagi meningkatkan lagi keupayaan kami di ladang kenaf ini,” katanya.

Di Perak, kekurangan tenaga pekerja warga asing sejak penularan pandemik COVID-19, telah mengakibatkan hasil pengeluaran tanaman ladang terutamanya sawit turut menunjukkan penurunan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak Datuk Sham Mat Sahat berkata ia termasuk ladang-ladang sawit di Kerian, Beruas, Semanggol dan Kuala Kangsar.

“Ini kerana ada pekerja warga asing yang pulang ke negara masing-masing dan ada yang berpindah ke tempat lain, jadi negeri ini perlu tambahan pekerja warga asing khususnya supaya hasil pengeluaran dapat ditingkatkan.

“Satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah akan diadakan pada Isnin nanti, susulan Perak memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara dan kita akan membincangkan berapa jumlah sebenar pekerja yang diperlukan di ladang-ladang seluruh negeri ini,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here