Pengebumian besar-besaran mangsa serangan di masjid, Afghanistan

0
301

KUMPULAN minoriti syiah di Afghanistan mengebumikan rakan-rakan dan saudara-mara mereka yang terbunuh dalam letupan ketika solat Jumaat di sebuah masjid.

Menurut ketua komuniti syiah yang hanya mahu dikenali sebagai Farhad, angka korban terkini adalah sebanyak 63 orang.

“Namun jumlah itu mungkin bertambah susulan terdapat ramai mangsa kritikal di hospital. Angka rasmi kematian dikeluarkan pegawai kerajaan kekal 47 orang,” katanya.

Keluarga mangsa meratapi pemergian saudara mereka dan menggesa Taliban melindungi mereka.

Kumpulan penyokong Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan pengebom berani mati itu yang mengorbankan lebih 120 nyawa.

Pembunuhan terbaru itu berlaku seminggu selepas satu lagi serangan terhadap penganut syiah di sebuah masjid di utara bandar Kunduz yang meragut lebih 60 nyawa dan turut didakwa didalangi Daesh.

Kejadian itu mencetus kritikan pihak antarabangsa termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, yang mengutuk ‘serangan keji’ berkenaan.

Beliau menuntut pihak yang menggunakan keganasan untuk menyekat kebebasan beragama di Afghanistan itu segera dibawa ke muka pengadilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here