Pulau Batu Puteh – Sultan Johor titah ambil tindakan jika ada kecuaian

0
316

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran undang-undang kes Batu Puteh.

Sultan Ibrahim juga mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita sudah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita. Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu. Adakah kita negeri anak tiri. Kalau tak suka Johor, cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya.

  • “Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda dalam kenyataan di akaun Facebook, hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Kabinet mencapai persetujuan supaya pasukan petugas khas diwujudkan bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan berkenaan kes Batu Puteh.

Minggu lalu, kerajaan Johor dilaporkan memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan.

Ia bertujuan bagi semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan berkata kerajaan negeri juga bersetuju dan akan memberikan sokongan penuh berkenaan tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan, kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here