Kes Covid-19 rendah, tak perlu saringan masuk Langkawi

0
426

Oleh RIZQI ZABIDI

KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak lagi melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 kepada pelancong ke Langkawi dibuat berikutan jumlah mereka yang didapati positif adalah rendah dan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, sepanjang ujian pengesanan itu dilaksanakan sejak sektor pelancongan kembali dibuka pada 16 September lalu, hanya 0.4 peratus daripada 54,351 pelancong yang hendak memulakan perjalanan ke situ didapati positif Covid-19.

Begitu pun katanya, kalangan pelancong diingatkan supaya tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin agar penularan Covid-19 dapat dicegah ketika mereka berkunjung ke destinasi pelancongan popular itu.

“Setakat ini penularan Covid-19 di Langkawi hanya melibatkan penduduk di pulau itu saja dan tidak melibatkan pelancong. Tiada pelancong yang menjadi pencetus kepada mana-mana kluster atau kes di pulau itu.

“Pelaksanaan ujian itu juga perlu ditampung pelancong sebelum ini dan mungkin dengan langkah terbaru kerajaan ini, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan pengunjung sekali gus menarik kedatangan pelancong ke Langkawi,” katanya kepada Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini membuat keputusan untuk menghentikan serta-merta keperluan ujian pengesanan Covid-19 buat pelancong ke Langkawi bermula kelmarin.

Begitu pun menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kalangan pelancong digalakkan unntuk menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.

Dalam pada itu Mohd. Hayati memaklumkan, satu daripada tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini iaitu di Dewan Al-Farabi Alor Setar, ditutup mulai hari ini.

Katanya, antara faktor PKRC itu ditutup adalah disebabkan pengurangan kes Covid-19 di Kedah kebelakangan ini.

Katanya berikutan penutupan itu, mana-mana kes bagi kategori tiga dan empat selepas ini akan dihantar ke PKRC Dewan Wawasan di Jitra bagi mendapatkan rawatan.

“Semua itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan bagi negeri ini. Malah ketika ramai penduduk Kedah sudah mendapatkan vaksin, rata-rata mereka yang dijangkiti Covid-19 juga tidak mengalami gejala teruk.

“Jadi mereka hanya menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here