Jangan sesekali leka, alpa kerana virus dalam komuniti – Muhyiddin

0
274

ORANG ramai diingatkan supaya tidak sesekali leka dan alpa sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana virus COVID-19 masih berada dalam komuniti tatkala kerajaan telah membenarkan pergerakan rentas negeri.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak perlu mengamalkan kawalan kendiri dengan ketat termasuk memakai pelitup muka, mengelakkan bersentuhan, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan.

Jika berkemampuan, kata beliau, lakukan ujian kendiri COVID-19 dengan kerap memandangkan kit yang dijual dengan harga berpatutan kini di farmasi dan secara dalam talian.

“Sering saya tekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 dahulu bahawa suntikan vaksin ini merupakan ‘cahaya di hujung terowong’ dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penduduk di Malaysia.

“Alhamdulillah, hari ini, kita sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat serta kerajaan dan pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

“Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda dipermudah dan semoga anda serta keluarga sentiasa dilindungi,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pimpinannya sebelum ini mula memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi pada Julai 2021 dan seawal Jun 2020 ketika lengkung jangkitan mula melandai.

Kata beliau, sememangnya tanggungjawab memutuskan rangkaian jangkitan terletak di bahu kita bersama dengan penilaian risiko kendiri amat penting untuk memastikan penularan virus dapat dikawal.

Muhyiddin turut menyambut baik saranan kerajaan supaya meningkatkan penilaian kendiri dengan lima langkah TRIIS iaitu Test, Report, Inform, Isolate dan Seek.

“Saya memuji pendirian kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini. Lebih ramai yang divaksin, lebih ramai yang akan terlindung dari dijangkiti COVID-19 dengan teruk dan beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang.

“Ini akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka serta kita beransur-ansur kembali ke kehidupan norma baharu dan beralih dari pandemik ke endemik.

“Walaupun dikritik hebat sebelum ini, pendirian kerajaan tidak berubah. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan mesti berani bertindak berdasarkan fakta dan melakukan perkara yang betul.

“Selain usaha-usaha kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan COVID-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus COVID-19,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here