30,000 keluarga B40 terus dibantu sekitar JB

0
450

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Johor Bahru sudah mengenal pasti masyarakat B40 dalam 11 mukim di daerah ini untuk dibantu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, pihaknya akan memberikan bakul makanan kepada kira-kira 30,000 dalam kawasan mukim berkenaan.

“Ramai pihak yang tampil menyumbang dan sumbangan itu akan kita gunakan untuk diagih kepada golongan memerlukan iaitu keluarga B40, termasuklah masyarakat Orang Asli, warga emas dan lain-lain,” katanya.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Johor Bahru berkata demikian ketika melancarkan Program Sumbangan Bakul Makanan di Pasaraya KipMall Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Katanya, sepanjang kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, banyak golongan memerlukan telah disantuni pihaknya dan usaha tersebut akan diteruskan.

Sumbangan yang diberi ujarnya, kebanyakan melibatkan bekalan barangan asas antaranya beras, mee dan gula dengan harapan tidak ada satu golongan akan tertinggal daripada menerima bantuan.

Mengulas berhubung kebenaran rentas negeri yang bermula hari ini, Abdul Rahman berharap masyarakat akan tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Bermula hari ini, lebih banyak sektor ekonomi dan pergerakan masyarakat telah dibenarkan, sehubungan itu masyarakat perlu ambil berat akan kesihatan dan keselamatan mereka.

“Difahamkan banyak hotel dan tempat percutian sudah mula menerima tempahan, namun dalam masa sama jangan lupa prinsip kita jaga kita,” katanya. – JB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here