Rentas negeri: Sabah buat keputusan Rabu ini

0
332

KABINET Sabah akan membuat keputusan mengenai kebenaran rentas negeri pada mesyuarat Rabu ini susulan keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan perjalanan itu bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah akan mempertimbang sebaiknya keputusan Kerajaan Persekutuan serta mengemukakan cadangan bersesuaian kepada Kabinet negeri pada mesyuarat tersebut.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata peratusan penduduk dewasa Sabah yang belum mencapai 90 peratus vaksinasi lengkap C0VD-19, yang merupakan prasyarat rentas negeri kerajaan Persekutuan, akan diambil kira dalam membuat sebarang keputusan.

“Pendirian kerajaan negeri akan diumumkan pada hari Rabu selepas mesyuarat Kabinet negeri dan pertimbangan akan dibuat sewajarnya demi kepentingan semua pihak terutama rakyat Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan Perkara 6: Imigresen, Perjanjian Malaysia 1963, sebarang kebenaran kemasukan ke Sabah memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kebenaran untuk individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok. 

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW Kementerian Kesihatan, sehingga 11.19 pagi tadi hanya 64.6 peratus penduduk Sabah telah lengkap diberikan vaksinasi COVID-19.

Masidi juga berkata kes harian COVID-19 Sabah mencatat penurunan kepada 562 kes berbanding 761 semalam, bagaimanapun beliau menasihati semua penduduk supaya kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kes tidak meningkat.

“Seperti yang kerap diingatkan, kejayaan mengawal penularan baharu yang akan mengakibatkan peningkatan kes banyak berkait rapat dengan tahap pematuhan masyarakat terhadap semua SOP yang berkuat kuasa.

“Secara perbandingan, peratusan kes yang dikesan melalui saringan bergejala kekal tingggi hari ini, hampir 34 peratus, ini satu peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi semua SOP sepanjang masa bagi mengelak dijangkiti virus COVID-19,” katanya.

Beliau berkata daripada kes yang direkodkan hari ini juga, kategori 2 kekal kumpulan terbesar iaitu hampir 79 peratus (443 kes), Kategori 1 sebanyak 14.8 peratus (83 kes), Kategori 3 seramai empat orang, Kategori 4 dan 5 masing-masing tiga orang manakala kes selebihnya masih dalam siasatan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here