[VIDEO] Murid teruja kembali ke sekolah, guru sambut kehadiran dengan meriah

0
306

SEKOLAH-sekolah di beberapa negeri selain negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah dibenarkan untuk dibuka kembali secara berperingkat bagi proses pembelajaran secara bersemuka, bermula sejak semalam dan juga hari ini.

Tinjauan SatuBerita terhadap perkongsian di media sosial, terutamanya dari para ibu bapa dan guru mendapati rata-rata anak atau murid mereka ceria untuk kembali ke sekolah yang kebanyakkannya dibuka kembali hari ini.

Menerusi satu perkongsian daripada seorang ibu, Azlina Yap di akaun Facebooknya hari ini berkata anaknya, Akif, 6, begitu teruja untuk kembali ke sekolah.

“Malam tadi siap ajak tidur awal sebab nak bangun pagi. Pagi tadi kejut sekali je terus bangun,” tulisnya.

Manakala bagi seorang bapa, Izzat Fahmi menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pula , menyifatkan setiap manusia perlu mempunyai sesuatu yang boleh menjadi motivasi untuk menggerakkan dirinya menjadi lebih baik dan bersungguh-sungguh sambil bercerita tentang keletah anaknya yang hendak ke sekolah pagi tadi.

“Macam Ainul Mardhiah (anak) pagi tadi. Bangun awal terus minta nak pergi sekolah sebab nak jumpa adik iman, kakak iman (kawan baik Ainul).

“Aku pun cakap, Ainul pergi mandi gosok gigi semua dulu ya. Nanti Papa, Abang Aniq hantar Ainul naik motor. Lagi semangat dia bila cakap dapat naik motor,” katanya dalam hantaran tersebut.

Perkongsian daripada Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, Terengganu di akaun Facebook rasmi mereka semalam, memaparkan pintu pagar sekolah berkenaan meriah dihiasi dengan belon bagi menyambut kehadiran murid-murid pra sekolah.

Malah, guru yang sedang bertugas di pintu hadapan sekolah itu juga dilihat memberikan cenderahati dalam bentuk seperti jambakan bunga kepada murid-murid yang hadir.

Sekolah Kebangsaan Beris Kubor Besar, Bachok, Kelantan juga tidak kurang kreatif apabila menggunakan maskot seekor harimau bagi menyambut kehadiran murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), semalam.

Pada 30 September lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pengoperasian sekolah secara bersemuka bermula 3 Oktober secara berperingkat mengikut fasa PPN setiap negeri.”

Sekolah dilaporkan tidak dibuka pada negeri berada pada Fasa 1 PPN, manakala negeri Fasa 2 pula, sekolah rendah hanya dibuka hanya untuk murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala bagi sekolah menengah, pada Fasa 2, hanya membabitkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua.

Bagi negeri Fasa 3 pula, selain SKPK dan PPKI, murid prasekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah, manakala untuk sekolah menengah pula, ia membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan calon STPM yang lain.

Seramai 94,000 pelajar dari negeri Kumpulan B – Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan – memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Manakala seramai 49,000 pelajar dari negeri Kumpulan A melibatkan Terengganu, Kelantan dan Langkawi semalam.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here