Lima dipanggil bantu siasatan pukul kanak-kanak autisme

0
319

SERAMAI lima saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes pukul melibatkan seorang kanak-kanak lelaki autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua saksi telah dipanggil semalam untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

“Hari ini tiga lagi saksi dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Semalam, Mohamad Farouk dalam kenyataan memaklumkan polis telah menahan seorang wanita warga asing berusia 51 tahun bagi membantu siasatan kes itu selepas menerima laporan bapa mangsa, Jumaat lalu.

Suspek yang juga pengurus di pusat asuhan itu ditahan di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 1.50 pagi, Sabtu lalu.

Mangsa berusia enam tahun itu dihantar ke pusat asuhan berkenaan oleh bapanya, seorang pengurus kargo berusia 36 tahun pada pukul 8.45 pagi, Jumaat lalu.

Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook mendakwa anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.

Hantaran yang dibuat itu kemudian tular dan netizen meminta tindakan tegas diambil ke atas pemilik pusat intervensi berkenaan.

Mangsa dipercayai didera pada Jumaat lalu antara pukul 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya mengambil kanak-kanak tersebut dan menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri serta di kedua-dua belah mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here