[VIDEO] Mesti ada ilmu jaga anak istimewa, mereka bukan ‘punching bag’

0
614

JANGAN jadikan anak-anak asuhan sebagai tempat melepaskan geram atau ‘punching bag’. Itu pesanan pakar motivasi, Nurul Nisha Mohd Shah kepada semua pengasuh terutama yang menjaga anak-anak istimewa.

Nurul Nisha yang popular dengan gelaran Coach Nisha Shah menegaskan, setiap pengasuh perlu memiliki tiga kecerdasan utama yang perlu dipratikkan sebelum layak menjaga anak asuhan.

“Yang pertama ialah kecerdasan intelektual iaitu ilmu dan kemahiran. Yang kedua ialah kecerdasan emosi, di mana kita perlu tahu untuk mengawal emosinya apabila berhadapan situasi tertentu.

“Dan yang paling utama adalah kecerdasan spiritual iaitu membuat sesuatu berlandaskan tanggungjawab kepada agama seperti bersyukur,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengulas mengenai kes pengasuh bertindak kasar dan mendera seorang kanak-kanak autisme di Ampang, Selangor. Kes itu kini disiasat polis dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan. 

Perbuatan pengasuh bertindak kasar kepada mangsa menimbulkan kemarahan ramai apabila video yang dirakam melalui rakaman litar tertutup (CCTV) tersebar di media sosial, dan dikatakan berlalu pada Jumaat lepas.

Coach Nisha Shah berkata, tindakan wanita tersebut tidak menggambarkan seorang manusia waras.

“Individu yang bertindak di luar batas kemanusiaan dipanggil sebagai tidak normal dan tidak waras kerana mereka tidak boleh fikirkan yang mana baik dan buruk,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

“Rasa sabar itu adalah rasa di mana anda boleh menahan rasa yang terbuku di dalam hati anda dan tidak menjadikan anak-anak tersebut sebagai ‘punching bag’,

“Mereka perlu sentiasa bersedia daripada segi mental dan sentiasa menjangka apa yang diluar jangkaan. Menjaga anak istimewa memang akan ada banyak cabaran, jadi anda harus mempunyai mental yang kuat” ujarnya. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan segera bertindak membantu mengelakkan perkara seperti ini berulang.

“Jiran-jiran atau orang sekeliling harus membuka mata dan melihat sekiranya ada perkara yang tidak sepatutnya terjadi. Buka telinga untuk dengar sekiranya ada bunyi-bunyi jeritan atau sebagainya yang mengundang kemusykilan,

“Buka mulut untuk memberi nasihat kepada pengasuh atau sesiapa sahaja yang didapati melakukan kekerasan kepada anak-anak istimewa ataupun orang biasa. Gunakan talian yang ada untuk melaporkan kes,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here