Lowry ikat kontrak lanjutan dua tahun bersama JDT

0
261

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PERJALANAN karier Shane Lowry yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak Mei lalu akan diteruskan selepas pemain kelahiran Australia itu menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun depan bersama-sama Juara Liga Super itu.

Lowry, 31, yang menyertainya JDT secara percuma berjaya membuktikan kemampuan sebagai tonggak pertahanan tengah yang ampuh apabila membantu Harimau Selatan menjuarai Liga Super buat kali kelapan musim ini.

Beliau merasa sangat bertuah untuk kekal bersama JDT dan bertekad untuk melakar lebih banyak kejayaan bersama pasukan termasuk Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

“Ketika JDT menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat saya, saya tidak berfikir dua kali kerana ia adalah sebuah pasukan bola sepak yang cukup lengkap dan istimewa.

“Lebih-lebihnya pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sangat profesional dalam menguruskan pasukan pada tahap yang tinggi.

“Saya gembira dapat menyambung kontrak untuk terus bersama JDT dan berhasrat untuk membina masa depan di sini. Ini juga membuktikan kerja keras saya selama ini bersama pasukan membuahkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama kelab sekali gus memperbaharui kontrak enam bulan yang hampir tamat di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Lowry menyertai JDT secara percuma pada Mei lalu dari kelab terdahulunya, Al-Ahly dan merupakan watak penting buat pasukan ketika bertanding dalam kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL) yang lalu.

Dalam pada itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, Lowry yang bagus daripada aspek teknikal dan taktikal itu adalah pelengkap buat pasukan JDT yang membantu memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan.

“Dia bukan sahaja pemain yang hebat, malah fizikal dan mentalitinya amat bagus. Jadi, kami amat memerlukan pemain seperti ini di dalam pasukan dan sayang untuk dilepaskan.

“Bagi saya, ini adalah pilihan yang baik oleh pihak pengurusan dengan membawanya ke kelab ini.

Ketika kami memerlukan khidmatnya dalam ACL, dia berupaya menjalankan tugas dengan baik, Sebagai ketua jurulatih, saya gembira dengan keputusan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here