Kampung Budaya Terengganu kembali beroperasi

0
258

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SETELAH operasi terhenti akibat berlakunya penularan wabak Covid-19, Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Kompleks Muzium Negeri Bukit Losong kini dibuka semula kepada orang ramai, bermula hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, selaras dengan pembukaan semula Kampung Budaya Terengganu, setiap pengunjung diberikan tiket secara percuma sehingga 31 Disember depan.

Katanya, itu adalah sebagai promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung di samping memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman percutian bersejarah berlatar belakangkan suasana sebenar kehidupan masyarakat Melayu lama di negeri ini.

Menurut beliau, kalau sebelum ini setiap pengunjung dikenakan bayaran, tetapi sepanjang tempoh promosi ini kemasukan ke Kampung Budaya Terengganu adalah percuma.

“Hasrat kita adalah untuk mempopularkan semula Kampung Budaya Terengganu dengan merangsang lebih ramai pengunjung.

“Memandangkan proses vaksinasi rakyat di negara ini sudah hampir 90 peratus di samping ia membolehkan kebenaran rentas negeri akan dibuka semula, kita percaya semakin ramai pengunjung akan bertandang ke Terengganu.

“Malah saya yakin pada awal tahun depan pelancong asing juga akan dibenarkan ke negeri ini sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka,” katanya.

Ariffin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan semula Perkampungan Budaya, di Kompleks Muzium negeri Bukit Losong, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman

Sementara itu, Ariffin memberitahu, pada masa ini kerja-kerja menaik taraf Perkampungan Budaya melibatkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan pada tahun lepas sedang giat dijalankan.

“Ia melibatkan membaik pulih dewan persembahan di samping menyediakan kemudahan infrastruktur yang dijangka dapat disiapkan pada akhir tahun depan.

“Setiap bangunan di sini akan mengekalkan ciri-ciri tradisi bangunan asal dengan menambah baik dari segi persembahan dan acaranya yang berperanan sebagai muzium ‘hidup’,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu ialah lawatan ke lapan hentian terdiri daripada rumah-rumah tradisional yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri seperti Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berpeleh Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele dan Istana Tengku Long.

Turut disediakan ialah Kapal Sabar dan Kapal Kemajuan yang ditempatkan di Galeri Pelayaran di samping demonstrasi pelbagai aktiviti tradisi diusahakan pendudukan tempatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here