[VIDEO] Lagu terbitan PERKESO diiktiraf di peringkat antarabangsa

0
824

DIAM tak diam, lagu tempatan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dinobatkan sebagai pemenang kategori ‘Music is Key” pada International Media Festival for Prevention di Toronto, Kanada, minggu ini.

Festival media setiap tiga tahun itu bertujuan bagi memberi pengiktirafan kepada filem dan hasil multimedia yang bertemakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tahun ini, PERKESO memutuskan untuk menyertai festival berkenaan dengan mempertandingkan lagu mereka yang berjudul ‘Sifar’, hasil kolaborasi bersama komposer muda, Asfan Shah, Lady D dan Tripdisz serta penyanyi rap, Kmy Kmo.

Lagu itu dicipta bagi mengetengahkan Visi Sifar yang diperkenalkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), dalam usaha untuk mengurangkan kecederan melibatkan pekerjaan dan memupuk kesejahteraan dalam kalangan pekerja.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan, Dr. Azlan Darus berkata, kekuatan lagu ‘Sifar’ terletak pada liriknya yang menggabungkan elemen keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan di tempat kerja.

“Konsep lagu itu juga agak kontemporari, jadi ia sesuai dengan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, penyanyi dan penulis lirik, Asfan Shah mengakui proses mencipta lagu itu agak mencabar kerana mempunyai tema yang spesifik iaitu kesedaran keselamatan sosial, berbanding dengan lagu lain yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Saya amat teruja kerana pertama kali menghasilkan lagu untuk agensi kerajaan yang membawa tema kempen kesedaran. Penggunaan perkataan yang mudah difahami dan sesuai dalam lagu adalah penting.

“Ilham dan inspirasi penulisan lagu bersama Lady D dan Kmy ini juga berdasarkan filem Warkah terbitan PERKESO pada 2019 dan ditambah elemen rap yang menjadi kekuatan untuk lagu ini menjadi juara,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama PERKESO memenangi tempat pertama di festival yang sama apabila pernah memenangi tempat pertama dalam kategori lain di Jerman pada 2014.

PERKESO turut pernah menduduki tempat ketiga pada tahun 2011 di Turki.

Lagu Sifar yang membawa pulang sijil serta trofi, bakal dijadikan medium promosi program PERKESO selain platform mendidik orang awam mengenai kepentingan keselamatan dan perlindungan sosial dan pekerja.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here