Piala Sudirman: Malaysia kalahkan Indonesia, jumpa Jepun di semi final

0
303

MALAYSIA mencipta kejutan apabila melangkah ke separuh akhir Piala Sudirman 2021 selepas menumbangkan musuh tradisi, Indonesia 3-2 dalam aksi suku akhir di Vantaa, Finland, awal pagi tadi.

Ini adalah kemenangan pertama skuad negara ke atas Indonesia dalam saingan Piala Sudirman selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini pada edisi 1999 dan 2011.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan menentang Jepun dalam perebutan tiket ke final pada jam 9 malam ini.

Jepun melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Taiwan 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Terdahulu, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul wira skuad negara apabila menyumbang mata kemenangan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pang Ron-Yee See yang menghuni ranking ke-27 dunia mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan pasangan nombor empat dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16.

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan kemenangan ke atas pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo ketika suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai lalu bukan sekadar nasib apabila sekali lagi menumbangkan lawan itu untuk menyumbang mata pertama skuad negara.

Mereka yang masih segar dengan kejayaan memenangi pingat gangsa Olimpik Tokyo melakar kemenangan 21-12, 21-15.

Indonesia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita mereka, Gregoria Mariska Tunjung yang menewaskan S Kisona 22-20, 18-21, 21-19.

Pemain perseorangan lelaki negara yang juga juara Seluruh England 2021, Lee Zii Jia kembali meletakkan Malaysia di depan dengan mata kedua menerusi kemenangan ke atas Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16.

Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memberikan tentangan sengit kepada pemenang emas Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu sebelum tewas 20-22, 21-17, 18-21 untuk membolehkan Indonesia menyamakan kedudukan 2-2.

Pang Ron-Yee See memastikan kemenangan milik Malaysia apabila menghadiahkan mata kemenangan menerusi kejayaan menewaskan Praveen-Oktavianti.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah muncul juara Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009. – BH Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here