Parti komponen selesaikan isu pembahagian kerusi PRU-15

0
882

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI-PARTI komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang diadakan petang tadi dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pembahagian kerusi tersebut melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

“Majlis Tertinggi Parti PN juga telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November 2021 dan PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

Muhyiddin berkata, mesyuarat itu turut membincangkan pelbagai isu melibatkan pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), pengurusan pandemik Covid-19, situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa.

Beliau yang juga Pengerusi MPN berkata, Majlis Tertinggi PN juga telah mencapai keputusan secara konsensus mengenai pendirian parti PN berkenaan beberapa isu.

Katanya, ini melibatkan ketetapan pendirian parti untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini turut dihadiri parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

PN katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian PN dari masa ke semasa mengenai pelaksanaan MOU berkenaan.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi PN bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri berkata, turut dibincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda selaras dengan pelaksanaan undi 18 tahun dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.

Menurutnya, PN sentiasa menghormati dan komited mendokong hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

Selain itu katanya, diputuskan juga Saiful Adli Mohd. Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa 1 Oktober 2021. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here