Suami, keluarga terdekat boleh teman ibu bersalin

0
269

BERKUAT kuasa 4 Oktober ini, Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat yang lengkap menerima dos vaksin COVID-19 untuk menemani ibu hamil semasa bersalin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh lengkap vaksinasi bagi vaksin Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca adalah 14 hari selepas dos kedua, manakala 28 hari ditetapkan selepas menerima vaksin jenis satu dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson.

Selain itu, suami atau ahli keluarga terdekat perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam, selain keputusan ujian itu perlu dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di wad bersalin.

“Suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata mereka juga boleh membeli kit ujian kendiri yang mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri COVID-19.

Ujian boleh dilakukan di tempat saringan yang disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan bertugas.

Mereka yang menemani ibu hamil turut diingatkan untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan golongan berkenaan adalah berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi. 

“KKM berharap masyarakat terutama ibu hamil serta suami dan keluarga dapat mengambil manfaat daripada kemudahan yang telah diberikan ini,” katanya. 

Surat arahan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bertarikh 28 September 2021 mengenai pelaksanaan inisiatif itu telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri untuk pelaksanaan mulai 4 Okt ini bagi memberi ruang kepada pihak hospital menjalankan persediaan yang diperlukan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here