[VIDEO] Pernah jadi antivaksin, abang Siti Sarah minta maaf kepada petugas barisan hadapan

0
871

ABANG Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ahmad Firdous Raissuddin berkongsi pengalamannya sendiri ketika berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor akibat Covid-19.

Menerusi siaran langsung di Facebook, Ahmad Firdous turut mengakui bahawa sebelum ini dia pernah menjadi antivaksin, namun selepas melalui sendiri penderitaan wabak itu, dia bercadang untuk mengambil vaksin apabila sembuh sepenuhnya.

“Inshaallah, bila saya dah sihat, saya akan ambil (vaksin), sebab saya tahu penderitaan orang yang kena Covid-19 sangat teruk.

“Yang mana dulu orang cakap saya antivaksin dan sebagainya, itu pengajaran dan pengalaman bagi saya,” katanya.

Namun, Firdous turut mengatakan yang dia tidak memaksa mana-mana pihak untuk mengambil vaksin namun turut mengakui akan kepentingannya.

Sementara itu, dia turut meminta maaf atas perkongsiannya sebelum ini yang membawa ideologi antivaksin serta berterima kasih dengan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaganya ketika di ICU.

“Pada mereka yang dulu ada tulis doktor pembunuh dan sebagainya, saya taktau saya ada tulis atau tidak saya tak ingat,  tetapi saya memohon maaf kepada doktor, nurse (jururawat).

“Saya berterima kasih kepada mereka kerana bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa saya. Terima kasih banyak-banyak, frontliner memang saya respect (hormat).

“Bayangkan macam mana mereka bekerja, bayangkan macam mana yang kita pula kata nurse (jururawat) itu nak membunuh kita,” tegasnya.

Bagaimanapun, sebagai bekas pengikut antivaksin, Firdous turut memberi sedikit nasihat kepada orang yang tidak percaya vaksin supaya jangan beri penyakit kepada orang lain.

“Saya cakap terus terang, dulu memang saya pengikut antivaksin, tetapi bila dah kena kepada saya, saya kena buat sesuatu.

“Yang nak antivaksin tu, tak mengapa, nak anti, anti lah tak ada masalah, cuma jangan beri penyakit kepada orang lain, kesian orang lain, pengalaman yang mengerikan telah berlaku kepada saya, jadi saya cuba beri iktibar kepada orang lain,” ujar Firdous. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here