‘Nice Jobs’ jadi umpan tipu mangsa

0
281

SEORANG penyelia lombong di Pahang kerugian RM55,700 selepas mendakwa ditipu individu yang menawarkan kerja sambilan melalui aplikasi ‘Nice Jobs’ sejak 22 Ogos lalu,

Mangsa yang berusia 38 tahun itu hanya menyedari ditipu selepas komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga menggunakan aplikasi berkenaan tidak diterima mengikut jadual pembayaran ditetapkan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa mengenali suspek melalui Facebook sejak April lalu, sebelum suspek mula menawarkan mangsa melakukan kerja sambilan sebagai pendapatan tambahan.

“Suspek bernama ‘Ting Su Li’ menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp menggunakan dua nombor berbeza dan meminta mangsa memuatnaik aplikasi ‘Nice Jobs’ untuk memulakan kerja sambilan itu.

“Sebagai orang tengah, mangsa perlu membayar terlebih dahulu barangan dipesan pelanggan melalui aplikasi berkenaan.

“Selepas barangan diterima pelanggan serta pembayaran dibuat, mangsa akan memperoleh komisen antara 10 hingga 15 peratus daripada harga barangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa membuat tiga kali pemindahan wang menggunakan mesin deposit tunai (CDM) ke tiga akaun berbeza diberikan suspek antara 22 Ogos hingga 2 September lalu, bagi tujuan pembelian barangan dipesan pelanggan melalui ‘Nice Jobs’.

Wazir berkata, jumlah keseluruhan pemindahan wang dilakukan mangsa ialah RM55,700 dan sehingga semalam, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang komisen dijanjikan suspek hasil urus niaga berkenaan.

“Aplikasi ‘Nice Jobs’ menggunakan kata laluan diberikan suspek kepada mangsa juga sudah tidak boleh diakses dan mangsa yang merasa ditipu membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Wazir berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan sudah meminta kerjasama pihak bank bagi mengenal pasti pemilik akaun yang digunakan suspek dalam kes itu.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here