Inti pati RMK-12

0
606

BERIKUT antara inti pati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

* RMK12 bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagih secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK12. 

* RMK12 mengandungi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

* Terdapat empat matlamat utama dalam RMK12:

i. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.

ii. Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025.

iii. Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dengan Sabah dikurangkan kepada nisbah 1:2.5 manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1:1.2 pada 2025.

iv. Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

* Sembilan fokus utama RMK12:

i. Merancakkan pertumbuhan ekonomi.

ii. Memperkukuh pemangkin pertumbuhan.

iii. Meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

iv. Memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam.

v. Membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

vi. Memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia.

vii. Melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri kurang membangun.

viii. Mempercepat pertumbuhan hijau.

ix. Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

* Beberapa perancangan dan sasaran digariskan dalam RMK12 yang akan dilaksana dan dicapai dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dari 2021 hingga 2025. Antaranya:

– Dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan aeroangkasa, elektrik dan elektronik serta penubuhan Centre of Excellence for Future Industry.

– Dana harta intelek dan pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

– Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada.

– Sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara.

– Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025.

– Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.

– Sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan akan disediakan untuk penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan.

– Penubuhan pusat sehenti bagi pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

– Penubuhan Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) bagi menyelaras aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

– Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun depan.

– Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada 2023.

– Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan, dijangka siap pada 2026.

– Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung 2021.

– Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

– Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

– Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

– Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) 3.0. 

– Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

– Penggantian 148 bangunan sekolah daif dengan kos RM1.6 bilion pada 2021 dan 2022.

– Empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina, melibatkan kos RM848 juta.

– Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dibangunkan.

– Kemudahan beberapa universiti awam antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan dinaik taraf.

– Kerajaan kenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk menjelang 2025.

– Sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam RMK12 bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah.

– Kerajaan memperuntukkan RM2.25 bilion untuk membina dan membaik pulih 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah.

– Kerajaan memperkukuhkan Op Benteng menerusi pelaksanaan beberapa projek termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim; pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu, Sarawak; pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka; dan peningkatan keupayaan aset maritim.

– Kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMK12.

– Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenal bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.

– Sebanyak 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMK12.

– Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan pejabat daerah akan ditubuhkan untuk menguruskan perihal kemiskinan.

– Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar dengan kos RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

– Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk kontraktor bumiputera akan diperkenalkan.

– Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. 

– Job Creation Strategic Plan 2021-2023 diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

– Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan, bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit. 

– Satu dana wakaf di peringkat nasional akan diwujudkan bagi menggembleng lebih banyak sumber untuk keusahawanan dan membiayai program pembangunan sosioekonomi bumiputera.

– Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.

– Pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang komprehensif sedang dirangka meliputi aspek daripada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sehingga infrastruktur asas.

– Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11). 

– Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru akan ditambah baik bagi membolehkan mereka yang berpendapatan rendah mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan.

– Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia.

– Kumpulan orang kurang upaya (OKU) akan diterus diperkasa dengan pelaksanaan program Job Coach, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

– Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada 2025.

– Penyediaan infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo. 

– Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada 2025.

– Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di Sabah dan Sarawak.

– Pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah akan dibina manakala Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf. 

– Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun depan. 

– Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap.

– Akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus menjelang 2025.

– Projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak RM310 juta dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos RM1.6 bilion.

– Model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri akan diperkenalkan semula dengan generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk standard oleh kerajaan.

– Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

– Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.

– Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada 2025.

– Model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

– Sebanyak 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan menjelang 2025. 

– Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan. 

– Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

– Pelan rangka tindakan ekonomi biru akan diperkenalkan untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan. 

– Beberapa projek dengan kos sebanyak RM16 bilion akan dilaksanakan di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir bagi tempoh RMK12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

– Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMK12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi bagi menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.  

– Kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos RM25.8 bilion untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air.

– Kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir atau end-to-end meningkat kepada 80 peratus pada 2025. 

– Rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dengan swasta yang lebih meluas. 

– Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.  

– Pelan Pelaksanaan Dasar RMK12 disediakan sebagai panduan kepada kementerian dan agensi dalam meneraju dan melaksana semua dasar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here