Pegawai kanan SPRM ditahan polis, reman 4 hari

0
270

SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat dengan kes kehilangan wang bernilai AS$6 juta dolar (kira-kira RM25 juta) ditahan polis, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek ditahan bagi tujuan siasatan berhubung kesalahan memiliki dadah, senjata api dan peluru.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka berikutan tangkapan itu iaitu mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Terdahulu, Abd Jalil dilaporkan berkata, polis akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh suruhanjaya itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang terbabit.

Polis juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Sebelum ini, tular laporan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

SPRM Isnin lalu mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here