Sanusi tak akan minta maaf kepada Mukhriz

0
217

Oleh RIZQI ZABIDI

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor tidak akan sama sekali membuat permohonan maaf berikutan pendedahannya berhubung pemindahan wang bernilai RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang didakwa dilakukan ketika Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar.

Menurutnya, ketika ini beliau amat mengharapkan supaya pihak berkuasa melakukan siasatan seadil-adilnya memandangkan dokumen-dokumen berkaitan hal itu sudah pun sampai kepada pihak berkuasa.

“Saya takkan maaf dan sudah melakukan apa yang sepatutnya. Saya berharap jika benar pemindahan wang itu berlaku, satu hari nanti wang itu dapat dipulangkan.

“Lain-lain perkara saya tak mahu ulas kerana dibimbangi mengganggu siasatan. Ke negara mana duit itu sampai, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan siasat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Semalam Mukhriz meminta Muhammad Sanusi membuat laporan kepada pihak berkuasa agar dakwaan tersebut dapat disiasat sepenuhnya.

Jika tidak, kata Mukhriz, Muhammad Sanusi perlu membuat permohonan maaf kerana membuat tuduhan yang dianggap liar itu.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, terdapat empat transaksi dilakukan dalam pemindahan wang tersebut yang dilakukan pada 2014.

“Empat transaksi itu bernilai RM3.295 juta, RM3.315 juta, RM3.305 juta dan RM3.278 juta,” jelasnya.

Sementara itu Mukhriz berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan penasihat perundangannya untuk membincangkan mengenai tindakan yang akan diambil selepas ini.

“Dalam masa sama, saya tegas menafikan apa yang didakwa itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis atau SPRM yang menyiasat isu ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here