Keputusan kes SUV terjunam bawah Jambatan Pulau Pinang Rabu depan

0
226

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

NASIB seorang pemuda yang terlibat dengan kemalangan sehingga menyebabkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke bawah Jambatan Pulau Pinang yang menggemparkan negara dua tahun lalu akan diketahui Rabu depan.

Keputusan ke atas M. Vaitheswaran, 23, itu sepatutnya dijatuhkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini namun ditetapkan Rabu depan oleh Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Ini berikutan peguam Vaitheswaran, K. Paramanathan memberitahu mahkamah pihaknya hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan semalam dan tidak sempat membalasnya.

Sehubungan itu menurut Paramanathan, pihaknya meminta mahkamah sedikit masa untuk meneliti sebelum membalas hujahan bertulis tersebut sebelum mahkamah menetapkan Rabu depan untuk memutuskan sama ada Vaitheswaran perlu membela diri bersabit pertuduhan tersebut.

Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan berhubung kes tersebut.

Pada 2019, Vaitheswaran, yang juga bekas pekerja salon didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej, Moey Yun Peng.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira jam 3 pagi 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan kenderaan yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV jenis Mazda CX-5 tersebut hilang kawalan dan terhumban ke laut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here