JDT masih berminat dapatkan Falcao?

0
257

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menyebabkan peminat skuad Harimau Selatan tidak senang duduk apabila kembali menimbulkan teka teki berhubung masa depan pemain antarabangsa Colombia, Radamel Falcao.

Tunku Mahkota Johor itu dalam laman Instagram miliknya hari ini berkongsi sekeping gambar menunjukkan Tunku Ismail sedang mengadakan panggilan video dengan pemain berkenaan.

Ogos lalu, terdapat khabar angin yang mengatakan JDT berminat untuk mendapatkan pemain handalan dunia itu untuk menyarung jersi biru merah mereka.

Namun khabar angin itu bagaimanapun dinafikan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest yang mengakui agak sukar untuk membawa masuk Falcao ketika sumber kewangan pasukan masih tidak mengizinkan.

“JDT tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain ‘marquee’ antarabangsa disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.

“Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan,” katanya.

Terdahulu perkara itu hangat diperkatakan selepas portal sukan Turki, Fotomac dalam Twitter mereka pada 5 Ogos lalu mendedahkan sebuah kelab popular Malaysia telah membuat permohonan untuk mendapatkan Falcao.

Falcao, 35, yang kini beraksi bersama-sama kelab Turki, Galatasaray pernah menyarung jersi gergasi Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid.

Khabar angin itu turut menyebabkan ada pihak mengedit maklumat peribadi Falcao dalam Wikipedia dengan menulis dia pernah menyarung jersi JDT dari 2013 hingga 2014 dan menjaringkan 107 gol daripada 65 penampilan.

“Kelab paling popular di Malaysia, Johor meminta Radamel Falcao daripada Galatasaray.

“Difahamkan, Presiden kelab, Putera Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) secara peribadi mahu membuat pertukaran dan ingin melakukan perpindahan terbesar dalam liga bola sepak Malaysia,” tulis Twitter Fotomac. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here