Sasaran wujud 500,000 pekerjaan bakal dicapai – PM

0
311

KERAJAAN yakin hasrat untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan tahun ini bakal dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 376,000 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sehingga 10 September lalu.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang bermesyuarat buat kali ketiga semalam.

“Kejayaan menempatkan pekerja itu melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September.

“Ini menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MPN ditubuhkan Mac lalu semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran.

MPN merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar, strategi dan pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan.

Ia dianggotai oleh 12 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 12 wakil dari sektor swasta dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021,” tambahnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) bagi memperkasa tenaga kerja Malaysia supaya lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

Pelan itu, katanya, akan disokong oleh lima pasukan petugas khas kendalian NEC.

“Penciptaan pekerjaan di Malaysia juga akan dipertingkat melalui enam teras utama ditetapkan NEC.

Enam teras itu ialah meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik; memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri; memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa; memanfaatkan ekonomi gig untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan.

Teras seterusnya, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden.

Katanya, enam teras itu akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam Pengubah Keadaan, termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan (AI) bagi pemadanan dan perancangan kerjaya, di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Antara cadangan NJCSP, katanya ialah pewujudan platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

“Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga diberi tanggungjawab membangun platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat.

“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan telah menyediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan yang boleh dituntut daripada PERKESO,” katanya.

Bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.

“Kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan.

“Ini sekali gus menangani isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here