Mayat nelayan hilang ditemui terapung

0
223

MAYAT nelayan yang hilang ketika keluar menangkap ikan, kira-kira satu batu nautika dari Jeti Kuala Lukut, semalam ditemukan terapung di pesisiran Pantai Bagan Kurnia, Port Dickson, Negeri Sembilan, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata mayat Yap Fok Swe, 64, yang berpakaian lengkap ditemukan kira-kira 2.5 kilometer daripada lokasi kejadian, oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah memulakan pencarian seawal 6.30 pagi tadi dan kemudiannya kami mendapat petunjuk setelah dimaklumkan oleh orang awam ternampak objek terapung di sekitar lokasi berkenaan.

“Tiada sebarang kecederaan ditemukan pada badan mangsa dan operasi SAR ditamatkan kira-kira pukul 9.20 pagi. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, Yap telah hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika keluar untuk menangkap ikan, yang mana kehilangannya disedari  seorang nelayan yang menjumpai sebuah bot tiada pemilik berserta peralatan menangkap ikan sahaja.

Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini turut melibatkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selain komuniti nelayan setempat.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi CARILAMAT di perairan Kuala Lukut pada pukul 4.30 petang semalam, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04 bagi membantu usaha pencarian.

“Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here