[VIDEO] Ramai doktor daripada pesakit: Bukti kejayaan strategi Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kejayaan menguruskan pendemik Covid-19 hari ini adalah hasil langkah berani yang diambil kerajaan sebelum ini dan diteruskan sehingga sekarang.

Bekas perdana menteri ini berkata, tuduhan kerajaan gagal adalah fitnah semata-mata yang bermotifkan politik sedangkan, negara kini beralih ke fasa pemulihan yang baik hasil perancangan ketika zaman pemerintahannya.

“Realiti hari ini sudah terjawab. Proses untuk pemulihan atau mengatasi masalah-masalah berat seperti Covid-19 ini. Umum tahu, bukan saja di Malaysia, seluruh dunia tahu bagaimana pencapaian negara lain, bagaimana pencapaian negara kita.

“Sudah banyak bukti mengenai kejayaan kita. Tentang soal menguruskan covid itu sendiri, walaupun ada orang kata angka masih tinggi, tetapi pecahan yang ditunjukkan, kes yang agak besar adalah dalam kategori 1 dan 2, dan sedikit saja dalam kategori 3.

“Kategori 4 dan 5 yang serius itu, peratusannya cuma 1-2 peratus saja. Sebab itu kalau kita pergi ke hospital, jumlah pesakit yang sebegitu sudah tidak ramai lagi.

“Kata orang, jumlah doktor lebih ramai daripada pesakit kerana hospital sudah dapat menangai masalah itu. Cuma, kes-kes di ICU masih ada lagi,” katanya dalam wawancara khas Astro Awani.

Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 September lalu, berkata kejayaan besar lain yang dianggap sebagai pencapaian luar biasa ialah proses vaksinasi.

Di peringkat awal, katanya beliau mengarahkan menteri penyelaras Covid-19, Khairy Jamaluddin supaya mendapatkan bekalan vaksin yang banyak walaupun pada ketika itu banyak perkara belum cukup jelas.

“Kita tak berapa clear (jelas). Saya maklumkan supaya jalan terus. Harga vaksin pada waktu itu orang tak tahu. Saya kata beli, jadi dengan arahan saya, kita sudah dapat menguasai bekalan vaksin lebih daripada mencukupi,” katanya.

Hasilnya, hari ini negara sudah mempunyai bekalan mencukupi, bahkan mampu dibekalkan kepada remaja berumur 12 hingga umur 18 tahun. Sebelum ini, vaksin hanya dikhaskan kepada populasi dewasa dan sehingga semalam, sejumlah 80 peratus daripadanya sudah lengkap dua dos suntikan.

Berbicara soal pembukaan ekonomi, Muhyiddin menegaskan, negara kerugian RM2.6 bilion sehari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diperkenalkan pada tahun 2020.

“Berapa lama nak tahan. Gabenor Bank Negara dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi bagitahu saya, kalau sebulan lagi kita buat begini, seluruh sistem perbankan dan kewangan kita akan runtuh.

“Jadi, kita buka (sektor ekonomi). Ada orang marah, tetapi kalau tak buka, runtuh sistem, lagi teruk. Jadi sebab itu kita sudah ambil langkah dan hari ini, hampir semua sektor sudah dibuka,” katanya dengan menegaskan, kerajaan membelanjakan RM530 bilion untuk menguruskan pendemik dan ekonomi negara.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah,” katanya dan turut merujuk kepada pelbagai jenis bantuan dihulurkan kepada rakyat. – SB