Lebih sejuta usahawan dapat manfaat GKP RM6.08 bilion

0
234

SEBANYAK RM6.08 bilion sudah dimanfaatkan oleh lebih sejuta usahawan mikro melalui empat siri bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah itu, bagi pembayaran terkini iaitu GKP 4.0 membabitkan implikasi kewangan RM1 bilion, yang mana bayaran RM500 bagi fasa pertama dikreditkan terus ke akaun bank didaftar mulai kelmarin.

Beliau berkata, syarat kelayakan sedia ada bagi permohonan GKP adalah sangat minimum dan tidak terlalu ketat.

“Data penerima bantuan GKP berdasarkan data terkini pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Penerima yang layak menerima bantuan GKP 4.0 membabitkan penerima sedia ada (GKP 1.0, 2.0 dan 3.0) berstatus lulus dan berjaya kredit serta penerima baharu GKP 4.0.

“Syarat ini dikenakan bagi memastikan tiada ketirisan dan usahawan mikro betul-betul layak mendapat bantuan bagi menghadapi cabaran CPVID-19,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasih Mohd Fakeh pada sesi pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan berkaitan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Tengku Zafrul menjelaskan, IKP perlu menekankan strategi mengutamakan pelaburan dan pemberian pinjaman bagi menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam inovasi peringkat awal, serta mereka yang beralih ke arah operasi digital.

“IKP perlu menumpukan usaha dalam menyokong usahawan mikro dan PKS yang terbabit dalam sektor yang menekankan aspek kelestarian,” katanya.

Beliau berkata, dalam menyokong inisiatif terutama yang berkaitan usahawan mikro dan PKS, IKP seperti Bank Simpanan Nasional, Bank Kerjasama Rakyat, Agrobank dan SME Bank melaksanakan pelbagai skim pembiayaan melalui dana Bank Negara Malaysia (BNM) dengan jumlah keseluruhan adalah RM8.1 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here