Dulu bayar hutang RM300, kini RM167: Peneroka Felda

0
263

DARIPADA RM300, kini saya hanya bayar RM167, kata peneroka Felda, Mohd. Hassan Baharin dalam nada gembira sambil menunjukkan slip baharu potongan bayaran hutang bulanannya.

Pengurangan tersebut dinikmati Mohd. Hassan dan kira-kira 73,817 peneroka lain yang bersetuju menandatangani perjanjian penghapusan pinjaman diilhamkan kerajaan sebelum ini.

Untuk rekod, cadangan penghapusan pinjaman itu diputuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Hari Peneroka Felda 2021 pada 7 Julai 2021. Ia membabitkan pelupusan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Mohd. Hassan yang juga Ketua Peneroka Felda Trolak Selatan berasa gembira dan berbesar hati kerana buat pertama kalinya setelah 39 tahun, Felda telah melupuskan sebahagian besar pinjaman kebun beliau dan peneroka lain.

“Saya masih berhutang sebanyak RM12,000 tetapi selepas Felda mengambil langkah melupuskan pinjaman peneroka, baki pinjaman kebun saya ialah RM6,013 sahaja,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mohd Hassan dan peneroka lain teruja dan gembira dengan pelaksanaan pelupusan pinjaman ini yang sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan bulanan mereka apabila potongan bayaran kembali dikurangkan dengan drastik.

“Saya yakin Felda amat mengambil berat dan meneliti pelbagai aspek sebelum laksanakan inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, peneroka Felda Trolak Selatan, Sulaiman Harun turut sependapat dengan Mohd Hassan dan gembira kerana menerima pelupusan pinjaman.

“Apabila menerima penyata pendapatan, saya amat gembira hanya perlu membayar RM250 sebulan selepas menandatangani perjanjian penghapusan pinjaman itu. Pinjaman saya juga berkurang daripada RM114,000 kepada RM45,000 sahaja.

“Saya tahu jumlah sebenar pinjaman yang perlu dibayar apabila melihat slip bayaran ini. Sepatutnya perlu membayar RM300 tetapi kini ia telah dikurangkan, syukur Alhamdulillah,” katanya.

Bagi Pengerusi GPW Felda Trolak Selatan, Hawaniah Korik, Felda telah melaksanakan apa yang dijanjikan dengan peneroka iaitu melupuskan sebahagian pinjaman mereka.

“Keyakinan kami sentiasa bersama Felda. Kami berterima kasih kepada agensi ini kerana banyak membantu peneroka terutamanya dengan inisiatif yang begitu menguntungkan peneroka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here