KKM tidak guna lagi formula imuniti kelompok

0
358

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa dalam usaha membendung COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pakar kesihatan dunia kini telah berhenti menggunakan formula berkenaan dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk, kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok sebelum ini iaitu 80 peratus, terjejas.

“Saya sebagai Menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvesional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80 peratus (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.

“Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta.

“Delta pada dasarnya menjejaskan pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberi penjelasan itu apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun dan mempersoalkan mengapa kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di Malaysia masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus.

Pada Selasa, negara mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Februari, dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here