Harap kembali bernafas selepas berbulan ‘tenat’: pengusaha pelancongan Pulau Tioman

0
304

SETELAH berbulan-bulan ‘tenat’, pengusaha industri pelancongan di Pulau Tioman, Rompin bersedia dengan syarat dan prosedur ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan mereka kembali ‘bernafas’ dengan kehadiran pelancong. 

Mereka semasa dihubungi Bernama hari ini, juga berharap ‘tiada kejutan pembatalan saat akhir’ kerana pengusaha pelancongan hanya ada kira-kira dua bulan untuk beroperasi sebelum ketibaan musim tengkujuh pada Disember disebabkan tiada operasi feri dibenarkan. 

Pemilik Juara Mutiara Resort Shahrol Hazri Sani, 45, berkata kaunter pertanyaan mereka mula ‘dihujani’ panggilan sejak semalam, bagi membuat tempahan bilik atau bertanyakan mengenai harga bilik dan aktiviti yang ditawarkan. 

“Ini melegakan kami yang teruk terjejas sejak tahun lepas. Malah, ini kali pertama kami diuji agak teruk selepas 30 tahun beroperasi sehingga terpaksa memberhentikan sementara pekerja kerana tidak boleh membayar gaji semua 20 kakitangan sebelum ini. 

“Sejak pengumuman pembukaan semula, saya mula menghubungi pekerja mengajak mereka untuk kembali.

“Kehadiran semula pelancong bukan hanya membantu pemilik atau pengusaha resort, tetapi juga penduduk setempat kerana kami memang bergantung pada industri pelancongan,” katanya. 

Shahrol Hazri berkata buat masa ini mereka sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak terlibat khususnya MKN supaya tindakan selanjutnya boleh diambil sebelum ketibaan pelancong bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. 

Pada Selasa, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan Pulau Tioman antara tiga lokasi yang bakal menjadi destinasi baharu dibenarkan beroperasi bagi pelaksanaan gelembung pelancongan negara.

Dua lagi lokasi ialah Genting Highlands dan Melaka. 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin juga mengesahkan Pulau Tioman sedia dibuka kerana telah mencapai imuniti kelompok sejak Julai lepas, selain turut mewujudkan Pasukan Petugas Tioman sebagai persediaan kembali menerima pelancong. 

Bagi pekerja pusat selam B&J Diving Centre Hayati Hassan, 28, yang beroperasi di Air Batang berkata sepanjang tidak beroperasi, mereka sudah membuat promosi secara dalam talian dengan pelanggan boleh menebus pakej yang dibeli apabila pulau itu ‘menerima lampu hijau’ untuk kembali beroperasi. 

“Setakat ini, kami sudah banyak menerima panggilan daripada mereka yang mahu menggunakan promosi itu termasuk kelas mengambil lesen menyelam untuk bulan Oktober.

“Malah, ramai juga pelanggan tetap membuat tempahan kerana Pulau Tioman memang antara lokasi popular bagi aktiviti tersebut. 

“Bagi pematuhan SOP, kami tiada masalah kerana semua peralatan memang dicuci selepas digunakan dan kali ini, kami tambahkan proses sanitasi.

“Selain itu, kami menetapkan syarat peralatan sama diberikan kepada seorang pelanggan dari hari pertama hingga terakhir dia di sini,” katanya. 

Pengarah Salang Pusaka Resort Abdul Khalid Mohamad, 65, pula berkata pematuhan SOP menjadi keutamaan semua pengusaha pelancongan di Pulau Tioman kerana mereka tidak mahu berlaku penularan penyakit yang merisikokan sehingga terpaksa menghentikan operasi sebelum musim tengkujuh. 

“Kami juga mempunyai isteri dan anak di sini, sudah pasti tidak mahu mereka dijangkiti…kena berwaspada kerana penyakit (COVID-19) ini tidak kelihatan pada mata kasar.

“Kami boleh bantu kurangkan penumpang bot atau sanitasi (untuk mematuhi SOP) namun kerjasama pelancong juga diharapkan,” katanya. 

Abdul Khalid berharap kerajaan dapat membantu mengurangkan kos feri yang merupakan akses ke pulau tersebut yang difahamkan boleh mencecah RM50 seorang bagi perjalanan sehala,.

Ia bagi menarik lebih ramai rakyat tempatan memilih Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan terutamanya bagi rombongan berkeluarga atau dalam kumpulan besar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here