9,015 kes keganasan rumah tangga sepanjang PKP

0
263

SEBANYAK 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara, bagi tempoh Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata, PKP bagi mengekang penularan jangkitan didapati memberi kesan mendalam terhadap ekonomi dan sosial lebih 32 juta rakyat di Malaysia.

Katanya, ia susulan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden keganasan rumah tangga bagi 2020 ialah 5,260 kes berbanding 4,905 kes dalam tempoh hanya lapan bulan tahun ini.

“Jika dihitung insiden keganasan rumah tangga sepanjang PKP dilaksanakan, sebanyak 9,015 kes direkodkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini. –

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang meminta perincian jumlah kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP dan bentuk sokongan kepada mangsa.

Rina berkata, saluran aduan keganasan rumah tangga menerusi talian kasih pula merekodkan 2,286 kes bagi tempoh Mac hingga Disember tahun lalu, manakala 2,248 kes dalam jangka lapan bulan iaitu dari Januari hingga Ogos lalu.

Kepada soalan tambahan Mohd Nizar berhubung usaha pendidikan bagi mengelak mana-mana pihak menjadi mangsa insiden keganasan rumah tangga, Rina berkata, peruntukan RM21 juta disediakan untuk membina Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di lapangan.

“Ini termasuk penambahbaikan sistem Talian Kasih yang diperluaskan di PSSS untuk membantu wanita berdepan kes keganasan rumah tangga, termasuk perceraian dan penderaan, mendapatkan perlindungan sementara dan kaunseling sebelum dirujuk ke pihak berkaitan.

“Jumlah PSSS sedia ada ketika ini meliputi tiga unit berpremis dan tujuh secara bergerak,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here