Boleh rentas negeri jika capai 90 peratus vaksinasi: PM

0
335

RAKYAT dibenarkan merentas negeri dengan syarat negara sudah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini, berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan, kerajaan turut membenarkan pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan apabila mencapai kadar vaksinasi berkenaan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

“Pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan selepas kira-kira lapan bulan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Malaysia berjaya mencapai kadar 80 peratus daripada penduduk dewasa lengkap menerima vaksin COVID-19.

PICK yang dilaksanakan ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mencapai sasaran lebih awal daripada jangkaan apabila ketika ini, jumlah populasi dewasa yang lengkap divaksin sudah mencapai 80 peratus.

Sasaran itu dicapai sebulan lebih awal daripada jangkaan asal dan ketika ini, kumpulan remaja bawah 18 tahun sudah mula menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here