Warga emas terbakar dalam kereta

SEORANG lelaki warga emas berusia 82 tahun ditemui meninggal dunia dengan sebahagian tubuhnya melecur di dalam kereta yang terbakar di tempat parkir sebuah blok apartmen di Cheras, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata laporan kejadian itu diterima pada jam 10.56 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu sudah berada di lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 82 tahun yang juga penghuni apartmen itu ditemui dalam keadaan bersandar pada tempat duduk pemandu dengan tubuhnya melecur dan cedera terbakar kira-kira 70 peratus.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami mendapati mangsa memandu keluar dari tempat parkir pada jam 9.20 pagi dan kembali semula bersama kenderaannya, kira-kira 15 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata berlaku satu letupan dari dalam kenderaan mangsa kira-kira jam 9.50 pagi, dipercayai berpunca daripada bahan bakar. Polis turut menemui satu bekas plastik di tempat duduk hadapan.

“Pihak bomba juga mengesahkan tiada kerosakan enjin dan kebakaran hanya membabitkan bahagian dalam kenderaan itu.

Hasil temu bual dengan anak mangsa, warga emas itu dikatakan mengalami kemurungan serta mempunyai masalah kesihatan, seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Hamizan Kamaruddin, berkata satu jentera LFRT-1 bersama enam anggota dari BBP Pudu dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian pada jam 10.10 pagi.

“Kebakaran itu menyebabkan kereta 50 peratus terbakar dan seorang mangsa yang berada di dalamnya disahkan meninggal dunia.

“Pihak Unit Forensik bomba berada di lokasi dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini – SB.