POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dari pelbagai aspek termasuk dakwaan dibantu individu lain, berhubung isu ahli perniagaan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, Muhammad Sajjad telah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand di bawah Akta Imigresen negara itu, namun, dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Bagaimanapun, Abdul Jalil turut berkata, pihak polis menasihatkan Sajjad untuk pulang dengan cara baik bagi menghadap kes yang perlu dilaluinya.
“Mereka (UNHCR) sedang berusaha membolehkan dia dianggap sebagai pelarian di Thailand.
“Terpulang kepada pihak berkenaan untuk memberi kuasa kepada polis bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Polis menasihatkan Nur Sajat, sekiranya dia dengar berita ini, kami minta dia pulang dengan cara baik bagi berhadapan kes yang perlu dilaluinya,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis dalam proses memohon mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.