Wanita rugi RM1.2 juta ditipu Macau Scam

0
244

SEORANG wanita pembangun perisian teknologi maklumat kerugian RM1.2 juta dipercayai ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Tan Poh Cheok berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 61 tahun itu, semalam.

Wanita itu mendakwa menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pihak LHDN sebelum memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai dan terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian dihubungi oleh individu lain mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka memaklumkan namanya tersenarai sebagai individu dikehendaki.

“Pemanggil meminta mangsa mengaktifkan akaun bank miliknya untuk proses siasatan selain diminta menyalurkan semua maklumat termasuk penyata gaji, insurans, bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saham dimilikinya.

“Mangsa turut diarahkan membuat beberapa transaksi dari akaun lain dan wang pengeluaran KWSP milik mangsa ke dalam akaun bank yang baru diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya tanpa pengetahuan mangsa, wang dalam akaunnya berjumlah RM1,215,600 sudah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali.

Tambahnya, mangsa turut menerima surat pemakluman melalui aplikasi WhatsApp bahawa transaksi pindahan wang berkenaan adalah bagi tujuan pembekuan akaun.

Berikutan kejadian itu, Poh Cheok berkata, mangsa membuat laporan polis dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here