[VIDEO] Tiada faedah, layanan keutamaan jika tidak ratifikasi RCEP

0
330

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan, Malaysia tidak akan dapat layanan keutamaan sekiranya kerajaan tidak meratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)

Antara manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Malaysia meratifikasikan perjanjian ini ialah pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan di kalangan negara anggota RCEP.

Antara lain, kata beliau, negara anggota RCEP komited mengurangkan halangan-halangan bukan tarif atau melalui penyelarasan tatacara import dan eksport bagi memudah cara pergerakan barangan rentas sempadan.

“RCEP juga melalui Bab Standard, Peraturan Teknikal dan Prosedur Penilaian Pematuhan atau Standards  menekankan keperluan mengadakan kerjasama antara badan-badan piawaian negara anggota.

“Selain itu, anggota RCEP turut berbincang di peringkat teknikal untuk memastikan piawaian dan standard industri negara masing-masing tidak menjadi penghalang atau meningkatkan kos barangan yang dieksport.

“Justeru, usaha-usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kerjasama dengan negara-negara RCEP adalah seiring dengan matlamat utama perjanjian terutama mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau di samping menjadikannya lebih mesra pengguna,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-PDP) mengenai status terkini RCEP dan rancangan kerajaan bagi meningkatkan kerjasama antara negara anggota.

RCEP dianggotai 15 negara merangkumi 10 negara anggota ASEAN dan lima negara Rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sewkatu Sidang Kemuncak RCEP ke-4, pada 15 November 2020.

Antara negara yang meratifikasi perjanjian itu adalah Singapura, China dan Jepun manakala Myanmar telah menghantar surat cara ratifikasi kepada sekretariat ASEAN dan Thailand  melengkapkan proses ratifikasi domestik serta akan menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN pada hujung tahun ini.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-53 pada 9 September 2021, negara anggota ASEAN mensasarkan tarikh kuatkuasa Perjanjian RCEP pada 1 Januari 2022.

Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Vietnam telah memaklumkan hasrat untuk melengkapkan proses ratifikasi domestik menjelang November 2021 manakala Malaysia pula memberikan komitmen melengkapkan proses ratifikasi pada pertengahan Disember tahun ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here