Polis tumpaskan sindiket curi dan jual lori

Rampas barangan bernilai RM2.8 juta dalam tiga operasi berasingan di Selangor

0
240

POLIS menahan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri dan menjual semula lori, serta merampas barang curi dianggarkan bernilai RM2.8 juta , dalam operasi khas di sekitar Selangor, sejak enam bulan lalu.

Tiga suspek itu ditahan dalam Operasi Lejang Kasuarina (Op Lejang Kasuarina) dalam tiga serbuan di Jalan Alam Budiman, Shah Alam; Rawang Industri, Rawang, di sini dan Bestari Jaya, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata modus operandi ahli kumpulan ini adalah melarikan lori yang sedang berhenti di mana-mana lokasi sekitar Selangor.

“Sebaik berjaya melarikan lori berkenaan, suspek akan membuang alat sistem kedudukan global (GPS) yang dipasang dalam lori berkenaan sebelum mencari pembeli.

“Lori dibawa ke sebuah bengkel di kawasan Industri Rawang sebelum suspek lain melakukan pengubahsuaian cat serta nombor casis dan nombor enjin dengan nombor lain sama ada untuk kegunaan sendiri dan pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau lokasi penyimpanan lori yang dilarikan di Rawang, Selangor, hari ini.

Dalam serbuan di kawasan bengkel berkenaan, polis merampas tiga lori yang dicuri dan dilaporkan hilang di sekitar daerah Subang Jaya dan Klang Selatan.

“Pihak JSJ menerusi Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Bukit Aman, turut merampas 12 buah lori, satu buah jentera forklift, dua bongkah enjin yang terdapat kesan gangguan pada nombor casis dan nombor enjin.

“Kejayaan kita memberkas kumpulan ini adalah hasil daripada maklumat orang ramai yang mendapati ada unsur mencurigakan dan meragukan ketika ingin membeli lori yang ditawarkan oleh sindiket berkenaan iaitu dengan kadar harga yang murah dan tidak masuk akal,” katanya.

Katanya, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai yang berhadapan dengan situasi sama semasa menjalankan urusan pembelian seperti lori ini.

Dalam operasi sama juga pihak polis turut menemui dan merampas muatan lori yang mengandungi pelbagai barangan kiriman.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 41 tahun ini yang turut memiliki pelbagai rekod jenayah lampau kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here