[VIDEO] Tiada bukti spray gun berkesan cegah Covid-19

0
320

SEJAK kebelakangan ini alat spray gun yang dikatakan berkesan dalam menghapus kuman semakin popular dalam kalangan masyarakat. 

Tidak keterlaluan dikatakan hampir setiap rumah pasti memiliki satu unit alat berkenaan.

Namun disebalik popularitinya, tahap keberkesanannya masih menjadi tanda tanya dan bagi pengamal perubatan ramai meragui keberkesanannya. 

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata beliau masih tidak nampak fungsi sebenar spray gun, selain hanya untuk mengikut trend semasa.

“Dari segi teknikal, spray gun ini tidak begitu berkesan dan boleh memudaratkan jika tidak digunakan dengan betul.

“Pada saya ianya adalah sesuatu yang sangat tidak digalakkan dan membazir,” katanya

Menurutnya, spray gun terdapat kesan sampingan jika tidak digunakan dengan betul.

“Jika seseorang menghidu semburan tersebut, mungkin boleh membahayakan dalam jangka masa yang panjang terutamanya kepada mereka yang mempunyai alahan,” ujarnya

Dr. Zainal berkata sehingga kini masih tiada kajian yang membuktikan keberkesanannya. 

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Izzar Anwari Abdul Khani berpendapat alat tersebut tidak sesuai digunakan di rumah kerana terdapat risiko keselamatan.

“Penggunaan juga perlulah sangat berhati-hati terutamanya apabila berdekatan dengan tempat penyediaan makanan atau tempat kanak-kanak bermain kerana risiko kepada pendedahan bahan kimia disinfeksi boleh memudaratkan anggota badan termasuk kulit, mata dan pernafasan.” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Izzar Anwari mengesyorkan orang ramai mengguna disinfeksi secara normal seperti cecair nyah kuman atau botol penyembur nyah kuman kerana itu lebih selamat untuk digunakan.

Dr. Sashini Seeni  ketika bercakap di forum kesihatan Malaysia, Doctor On Call, pula berkata tiada kajian menunjukkan keberkesanan Nano Mist Spray mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Oleh itu, katanya, guna bahan pencuci yang betul iaitu hand sanitizer  dengan peratusan alkohol yang disarankan iaitu 65 peratus ke atas.

Selain itu, terus amalkan langkah pencegahan lain seperti mencuci tangan dengan sabun dan air. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here