Gagal patuh SOP, KPDNHEP keluar kompaun RM3.67 juta

0
210

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SEBANYAK RM3.67 juta kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga dan orang awam di seluruh negara kerana melakukan pelbagai kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, kompaun itu membabitkan 764 kes pelbagai kesalahan di premis perniagaan bermula 1 Jun lalu di bawah pelaksanaan PKP dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, KPDNHEP telah melakukan 228,223 pemeriksaan di premis perniagaan di bawah penguatkuasaan pemantauan SOP PKP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal daftar masuk menggunakan buku dan aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan, gagal menyediakan penanda jarak satu meter dan tidak memakai pelitup muka,” katanya
kepada pemberita di Hulu Terengganu, hari ini.

Menurut Rosol, selain itu KPDNHEP juga telah menggerakkan lebih 2,000 penguat kuasa untuk memantau operasi sektor perniagaan dan peruncitan di seluruh negara sejak 16 Ogos lalu melalui Ops Samar.

Katanya, ini termasuk pemantauan bagi pematuhan SOP melibatkan kebenaran aktiviti ‘dine-in’ di restoran dan kedai makan seluruh negara, yang ketika ini hanya dibenarkan kepada pelanggan lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Kami juga menerima aduan daripada pengguna mengatakan terdapat premis perniagaan yang tidak sediakan kemudahan daftar masuk MySejahtera sehingga ia menggusarkan pelanggan,” ujarnya.

Malah kata Rosol, kesan ketidakpatuhan terhadap SOP ini boleh menyusahkan orang ramai.

Justeru ujarnya, menerusi Ops Samar KPDNHEP akan terus memastikan setiap peniaga dan orang awam sentiasa mematuhi SOP dan sekiranya gagal, tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here