[VIDEO] Wanita tular masuk Islam semakin sembuh COVID-19

0
371

WANITA yang videonya tular memeluk Islam sejak semalam, kini semakin sembuh daripada COVID-19.

Anak kedua wanita itu, Fringco John Wayne @ Firdaus Abdullah, 45, berkata video berkenaan dirakam pada 9 September lalu.

Ibunya, Laimi Tinggi @ Nur Laila Abdullah, 65, dimasukkan ke wad COVID-19 di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, pada 4 September selepas cedera akibat terjatuh.

“Selepas ke hospital, ibu turut disahkan dijangkiti COVID-19. Sejak itu, kesihatan ibu semakin merosot. Pada pagi 9 September doktor kemudian menghubugi saya dan memaklumkan ibu berada di tahap lima COVID-19.

“Saya kemudian meminta petugas wad membantu agar saya dapat membuat panggilan video bersama adik-beradik yang lain,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Firdaus berkata, ketika dalam panggilan video itu, ibunya sempat meluahkan hasrat untuk memeluk Islam jika keluar wad kelak.

“Melihat keadaan ibu yang merisaukan ditambah lagi dengan sakit buah pinggang tahap empat, saya meminta pertolongan petugas hospital membantu ibu melafazkan khalimah syahadah pada hari berkenaan.

“Alhamdulillah dengan bantuan tiga jururawat, ibu akhirnya memeluk Islam dan kami adik-beradik sangat gembira sehingga menitiskan air mata. Kami juga meminta keadaan itu dirakamkan,” katanya sambil menambah empat daripada lima adik beradiknya sudah lama memeluk Islam.

“Jadi bermula selepas itu hari demi hari kesihatan ibu semakin baik. Dia kembali ada tenaga dan beberapa hari lalu bekalan oksigen pun sudah dibuka,” katanya.

Dalam pada itu, Firdaus menafikan ibunya dipaksa memeluk Islam di wad berkenaan seperti tular sebelum ini.

“Kami yang meminta jururawat melakukan perkara berkenaan. Jadi saya harap tiada pihak melemparkan tohmahan kepada jururawat dan pihak hospital,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here