[VIDEO] ’10 sen pun saya terima’, Mel Wings akui bergelut teruskan kehidupan

0
1176

BEKAS vokalis Wings, Mel kini dilaporkan bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat kesan serangan angin ahmar dan impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan mata pencarian sejak tahun lalu.

Mel atau nama sebenarnya, Ismail Zainuddin, 56, tular dalam media sosial baru-baru ini akui buntu apabila memikirkan masa depan setelah dihujani dengan banyak ujian yang mendatang.

Bagaimanapun Mel bersyukur kerana walaupun tidak pernah meminta bantuan secara terbuka, masih ramai pihak yang membantu menghulurkan bantuan kepadanya.

“Pandemik COVID-19 benar-benar menguji. Hendak berceramah dan menyanyi pun tidak boleh. Pendapatan sudah tiada. Sebagai manusia biasa, saya mengadu kepada Tuhan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Bapa dua anak ini mengaku, jika diikutkan rasa segan, mungkin kepayahan ditanggung terus melarat.

“Kalau ada yang hendak sumbang 10 sen pun saya terima dengan hati terbuka.

“Menantu saya sudah dibuang kerja akibat pandemik. Anak perempuan saya pula tidak bekerja. Mereka ada dua anak.

“Saya pula tidak mahu susahkan Ewal yang turut terkena impak penularan COVID-19 dan bakal berkahwin akhir tahun ini,” katanya.

Anak sulung Mel, Ewal meneruskan legasi seninya sebagai penyanyi yang kini menjadi vokalis kumpulan Kristal.

Ketika dihubungi SatuBerita hari ini, Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail mengesahkan keadaan kesihatan bapanya semakin baik tetapi tidak menentu.

“Kadangkala, sakit angin ahmar yang dia hadapi akan datang kembali.

“Jadi disebabkan itu dalam masa seminggu, dalam tiga atau empat kali saya akan melawat, kalau saya tak dapat datang melawat, saya akan telefon,” katanya.

Ewal mengakui terkejut dengan kenyataan bapanya, namun tidak kecewa atau marah kerana yakin bapanya mempunyai alasan tersendiri.

“Sebagai ayah, mungkin dia lebih memahami. Saya juga ada ‘struggle’ saya sendiri. Jadi, sedikit sebanyak kami saling membantu satu sama lain,” tambahnya.

Mel telah menghabiskan wang simpanannya sebanyak RM15,000 bagi merawat angin ahmar yang dihidapinya pada 2014 secara perubatan moden mahupun tradisional.

Mel berkata, biarpun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, percakapannya masih perlahan serta kadangkala terhuyung-hayang ketika berjalan dan degupan jantungnya tidak seperti orang normal.

“Dahulu ketika sakit, saya merangkak dari kamar tidur ke bilik air. Hendak membetulkan kedudukan getah paip air sahaja mengambil masa 30 minit, belum mandi lagi,” katanya.

Mel turut menjelaskan bahawa dirinya masih membuat pemeriksaan berkala dua bulan sekali di Hospital Putrajaya, dan akui ada memohon bantuan pusat zakat dan Baitulmal tetapi masih menunggu keputusan.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here