Kerajaan setuju laksana dos ketiga vaksin- Ismail Sabri

0
271

KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan pemberian dos ketiga akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Menurut beliau, langkah itu akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.

“Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menmberitahu, kerajaan akan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga bebas dari jangkitan COVID-19.

Beliau menambah, langkah itu adalah sebagai persediaan ke arah era endemik COVID-19,

“Usaha ini antara lain bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu, sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi pek pelitup muka guna semula (4 keping setiap keluarga), kit ujian kendiri COVID-19 (4 kit setiap keluarga), 1 pulse oximeter, 1 termometer serta risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

Ismail Sabri memberitahu, pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

Beliau menambah, mereka adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak atau ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak.

“Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here